Senin, 16 Agustus 2010

Air Mata Emosi

Dari kecil hingga dewasa airmata sudah biasa membasahi pipi. Kita menangis mungkin kerana pelbagai hal dan tujuan sesuai dengan kata imam ibnu qayyim yang tangisan itu mungkin kerana kasih sayang & kelembutan hati atau kerana rasa takut.atau kerana cinta atau kerana gembira atau kerana menghadapi penderitaan atau kerana terlalu sedih atau kerana terasa hina dan lemah. Tangisan juga katanya lagi mungkin berpunca untuk mendapat belas kasihan orang dan ada juga kerana mengikut-ikut orang menangis, tak kurang juga yang pura-pura menangis. Tangisan hari ini bukan satu perkara yang aneh dan bukan juga satu perkara yang pelik jika tangisan dikaitkan dengan orang lelaki. Hari ini terlalu ramai yang ‘berasa’ insaf dengan tangisan. Kita mungkin tersentuh dengan kata-kata lalu mengalirlah airmata. Hari ini juga sudah terlampau banyak program yang berteraskan airmata.

Saya pernah bertemu dengan seorang bapa yang menceritakan yang anaknya telah mengikuti satu kem motivasi. Katanya kem itu begitu hebat kerana dapat membuat anaknya menangis, cuma katanya dia tidak sehebat motivator tersebut untuk membuat anaknya sering menangis. Saya bertanya kepada sibapa, mengapakah anaknya menangis, lalu dia menjawab yang anaknya insaf setelah beberapa hari diberi nasihat dan sewaktu menjemputnya pulang, anaknya begitu kuat tangisannya, dan memeluknya dan memohon ampun atas kesalahannya. Itu satu perkara yang bagus, namun keluhnya, anaknya kembali kepada perangai asal selang beberapa minggu selepas itu. Dia berfikir bagaimana untuk membuatkan anaknya berasa insaf. Saya tidak memberi komen apa pun kerana saya kurang gemar memberi komen jika tidak diminta. Saya mempunyai pandangan berbeza tentang hal ini. Rancangan realiti TV AF8 baru sahaja melabuhkan tirai. Dalam kesibukan waktu saya dapat juga menonton satu rancangan diari AF8 yang mana dalam episod tersebut ibu-ibu pelajar dipanggil masuk sempena hari ibu. Sebelum para ibu dibawa masuk, pelajar-pelajar telah diminta mengingati peristiwa yang mereka lalui bersama ibu mereka yang akhirnya saya melihat isak tangis berlaku. Dalam isak tangis, para ibu dipanggil masuk untuk bertemu para pelajar berkenaan. Seperti biasa begitu syahdu dan begitu sedih mereka memeluk ibu mereka, namun yang pasti hanya seketika. Ini tidak bermakna mereka perlu menangis sepanjang pembelajaran mereka. Persoalan saya, berapa lamakah mereka dapat merasakan kekesalan mereka. Sama seperti anak sibapa yang bertemu saya atau mungkin sama seperti anak-anak kita yang menangis ketika diingatkan kesilapan mereka, namun yang pastinya kekesalan itu tidak kekal lama.

Kita sudah acapkali menangis ketika mendengar sesuatu dari orang lain, kita sudah banyak kali tersentuh rasa apabila kita diingatkan akan perkara dan kesalahan yang diperlakukan. Adakah itu semua tanda kita sudah insaf atau hanya berasa insaf. Mungkin saya melihatnya dari sudut berbeza, namun tidak salah untuk kita sama-sama merenungi hal tangisan. Senario yang sering berlaku adalah tangisan airmata ini cukup mudah untuk berlaku dalam program-program motivasi. Kita mungkin tidak pernah bertanya mengapa kita menangis ketika berada dalam program motivasi. Kita mungkin merasakan yang kita sudah mula berubah ketika dalam program motivasi. Saya bukan mengatakan program motivasi tidak bagus atau tidak menyumbang apa pun dalam kehidupan. Kita perlukan kem motivasi, kita perlu dimotivasi namun hakikatnya adalah diri kita. Yang menjadi perkara pokok dalam kupasan tangisan hari ini adalah diri kita. Kita menangis ketika dalam kem motivasi namun mari kita renungi sejenak, kira-kira berapa banyakkah airmata ini tumpah selepas menghadiri kem motivasi. Adakah ianya tumpah lagi atau pulang ke rumah keringlah airmata, yang tinggal kebanggan untuk bercerita yang kita ini menangis dalam kem motivasi.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang aneh kerana seharusnya kita sudah dapat keinsafan dalam kem motivasi, kita akan membawa pulang keinsafan dan lebih hebatlah tangisan itu dikala bersendirian bersama Allah swt. Hakikatnya dikala bersendirian bersama Allah swt tangisan tidak pula menjengah dan hal duniawi kembali menguasai diri. Mengapa hal ini berlaku dan sering berlaku? Saya merujuk kembali kepada kata-kata imam ibnu qayyim berkaitan tangisan yang mana antara sebab kita menangis adalah kerana sedih atau mungkin juga terikut-ikut. Kita sewaktu diberi motivasi mungkin sedih mendengar cerita dari motivator dengan permainan suara mahupun audio, hasilnya timbullah tangisan tetapi mungkin ada dikalangan kita yang menghadiri kem motivasi tetapi sukar menangis namun setelah melihat sekelilingnya menangis, lalu menangislah dia. Ada juga kelompok yang menangis kerana berpura-pura menangis. Hal ini berlaku kerana dia terpaksa ke program atau malu jika dilihat tidak menangis. Jika kita sudah menangis benar, kita pasti juga akan menangis bahkan lebih hebat lagi sewaktu bersendirian. Kita sebenarnya menangis bukan kerana insaf diri tetapi kerana ‘berasa’ insaf. Kita ‘berasa’ insaf kerana emosi kita sudah dimainkan oleh si motivator. Emosi kita disentuh dengan suara dan kesan audio yang cukup untuk mempengaruhi tangisan begitu juga dengan cerita-cerita sedih. Hal ini tidak jauh bezanya ketika seseorang itu menonton cerita sedih. Ramai yang mengalirkan airmata apabila menonton rancangan TV : bersamamu. Meskipun begitu ramai juga kering airmata dan kering hati selepas rancangan itu berakhir. Persoalannya dimanakah perubahan hidup yang dibuat oleh tangisan? Sepatutnya tangisan dapat mengubah kita ke satu lagi tahap keinsafan.

Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi).

Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Tanda orang yang riyaa’ itu ada empat iaitu malas jika bersendirian, dan tangkas jika di hadapan orang, dan menambah amalnya jika dipuji, dan menguranginya jika dicela.
sumber: http://aku-ok.com/blog/2010/05/airmata-emosi/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

silakan tulis komentar anda disini